Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Hasil durian di beberapa kawasan seperti Pulau Pinang dan Perak yang menggalakkan menyebabkan ia dijual pada harga berpatutan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya menjangkakan pengeluaran durian pada musim kali ini berkurangan antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan faktor cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun katanya, jangkaan itu meleset apabila kebanyakan durian 'menjadi' bahkan dilaporkan hasil pengeluarannya meningkat hingga buah dari jenis Musang King menunjukkan penurunan harga dan mampu dibeli bagi penggemar raja buah untuk musim kali ini.

"Suatu ketika dahulu (musim kali ini) kita menjangkakan produk keluaran durian berkurangan berbanding tahun lalu kerana faktor cuaca namun syukur walaupun menghadapi hujan lebat tetapi hasil keluaran kali ini amat membanggakan sekali.

"Kita tidak ada data itu (hasil pengeluaran durian) namun apa boleh dikatakan hasil durian kali ini begitu menjadi bahkan dalam lawatan saya mendapati buah Musang King dijual tidaklah mahal sangat kerana pengeluarannya meningkat yang ia memberi peluang untuk menarik lebih ramai pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung sama ada berlaku lambakan durian pada musim kali ini selepas hadir Merasmikan Program FAMA Fest Pulau Pinang di sebuah pasar raya di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, program FAMA Fest yang dianjurkan selama lima hari bermula kelmarin bertujuan membantu menambah ruang pasaran kepada para usahawan memasarkan produk agromakanan mereka, sekali gus dapat mencapai nilai jualan RM500,000.

"Pembukaan ruang pasaran ini kepada usahawan dan pengunjung menunjukkan usaha berterusan MAFI melalui FAMA dalam menunjukkan tahap sekuriti makanan negara terjamin

"Antara komponen yang menjadi tarikan utama adalah Laman Durian, Empayar Makanan Popular, Jualan Orkid dan Keladi Viral serta pelbagai aktiviti lain.

"Usaha pemulihan dan merancakkan semula ekonomi tempatan melalui penganjuran program seumpama ini amat dinanti-nantikan oleh usahawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 4:33 PM
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) melihat durian Musang King yang dijual pada Program 'Fruit, Flower and Food Fiesta' (FamaFest) Pulau Pinang di Tapak Parkir Pasaraya Lotus's Seberang Jaya. FOTO DANIAL SAAD
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) melihat durian Musang King yang dijual pada Program 'Fruit, Flower and Food Fiesta' (FamaFest) Pulau Pinang di Tapak Parkir Pasaraya Lotus's Seberang Jaya. FOTO DANIAL SAAD