Musang yang menceroboh rumah penduduk ditangkap di Kampung Betong, Jeneri, Sik. FOTO Ihsan APM
Musang yang menceroboh rumah penduduk ditangkap di Kampung Betong, Jeneri, Sik. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


MUSANG pandan (civet cat) yang sering menceroboh kediaman penduduk untuk mencuri makanan di Kampung Betong, Jeneri, Sik berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik hari ini.

Haiwan berkenaan ditangkap 10.30 pagi selepas APM mendapat maklumat daripada penduduk mengenai kehadiran mamalia itu.

Pegawai APM Daerah Sik, Leftenan (PA), Haisul Aishah Hanapiah berkata, haiwan itu menceroboh ke kawasan rumah penduduk untuk memakan buah-buahan dalam kediaman itu.

Beliau berkata, haiwan itu bertindak agresif dan cuba menyerang penduduk ketika cuba dihalau pemilik rumah.

“Haiwan itu cuba menyerang penduduk selepas masuk di perkarangan rumah penduduk.

“Musang pandan itu bukan hanya memakan buah-buahan di rumah itu tetapi bertindak agresif menyebabkan penduduk ketakutan,” katanya.

Menurutnya, musim buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan dan manggis ketika ini menyebabkan haiwan liar itu turut mencari makanan di kebun milik penduduk berhampiran.

Haisul Aishah berkata, anggotanya mengambil masa 30 minit menangkap musang pandan itu menggunakan peralatan khas.

Haiwan itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 3:01 PM