POLIS menyerbu pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan USJ 21/6, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
POLIS menyerbu pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan USJ 21/6, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan USJ 21/6, Subang Jaya, tengah malam tadi.

Serbuan yang dijalankan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada jam 12.10 tengah malam itu menahan lima pekerja pusat hiburan selain seorang lelaki yang dikehendaki polis.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen.

Menurutnya, pihaknya merampas 52 botol minuman keras, tiga keping bil tunai, pelbagai peralatan audio dan wang tunai berjumlah RM119.

“Pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen dan semua tangkapan bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Polis akan menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap individu yang ditahan berkenaan,” katanya.

Azmi berkata, semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/1969.

“Selain itu kes turut disiasat mengikut Seksyen 3 Enakmen Hiburan Terbuka 1997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 12:08 PM