POLIS menahan 20 GRO warga Vietnam dalam serbuan Op Noda di pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama tengah malam kelmarin.
POLIS menahan 20 GRO warga Vietnam dalam serbuan Op Noda di pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama tengah malam kelmarin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


AKSI ‘ringan-ringan’ sekumpulan lelaki bersama pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini, terbantut apabila premis terbabit diserbu polis, awal pagi semalam.

Serbuan Op Noda dilakukan jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur

Operasi bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kuala Lumpur dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan.

Difahamkan, GRO warga Vietnam terbabit menggunakan aksi menggoda bagi menjerat lelaki hidung belang untuk memperoleh wang dengan cara mudah.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, dalam serbuan itu, polis menahan 20 wanita warga Vietnam berusia antara 17 hingga 41 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati 19 daripada mereka disyaki bekerja sebagai GRO, manakala seorang lagi pengurus premis.

“Polis turut menahan dua lelaki warga Vietnam berusia 20 dan 37 tahun yang juga pekerja premis terbabit.

“Beberapa peralatan audio, resit beserta sejumlah wang turut dirampas,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati premis terbabit yang menggajikan wanita warga asing beroperasi tanpa lesen dan pernah diserbu Mac lalu.

“Semua GRO ini dibayar sejumlah tips berdasarkan layanan diberikan mereka dengan menemani pelanggan minum dan berhibur,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen serta Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:30 AM