Mohd Husni Mohd Noor


TUN Dr Mahathir Mohamad menyeru penjawat awam supaya mengamalkan sikap timbang rasa, saling bermaaf-maafan, bekerjasama dan menerima kelainan antara satu sama lain bagi memastikan kelancaran pentadbiran negara.

Perdana Menteri berkata, agak sukar untuk melaksanakan tugas jika tiada kerjasama yang baik dan timbang rasa khususnya antara peringkat tinggi dan rendah (berlainan jawatan dan pangkat).

“Hari ini saya baca dalam surat khabar, kononnya khidmat kita (kerajaan) sudah tidak efisien seperti dulu. Mungkin juga ini benar dan mungkin juga tidak benar secara keseluruhannya.

“Namun demikian, apabila kita ditegur, jangan kita melenting sebaliknya kita ambil kira teguran itu sama ada ia mempunyai asas atau tidak. Kalau ada asasnya, hendaklah kita betulkan diri kita.

“Dalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini, ada banyak masalah di mana kadang-kadang kita terpaksa bekerja dengan mereka yang tidak sebulu dan sesuai dengan kita,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan JPM bersama Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan menteri dan timbalan menteri di bawah JPM.

Justeru, katanya, penjawat awam perlu mengamalkan sikap timbang rasa dan menerima kelainan yang terdapat dalam kalangan penjawat awam lain bagi memastikan tugas dapat dilakukan dengan sempurna.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan baharu yang mengambil alih daripada kerajaan yang sudah 61 tahun memerintah.

“Kita baharu memerintah negara ini cuma satu tahun saja namun, kita dapati banyak masalah di mana sesetengahnya boleh kita atasi.

“Tetapi, masalah yang wujud antara yang baharu dan lama (penjawat awam lama dan baharu) menjadi satu masalah yang perlu kita atasi.

“Dalam bulan mulia ini, kita perlu bermaaf-maafan antara satu sama lain. Kalau ada sesuatu yang tidak disenangi oleh kita, betapa pentingnya kita bermaaf-maafan supaya kita dapat bekerjasama khususnya dalam usaha kita mentadbir negara,” katanya.

Katanya, beliau turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada semua penjawat awam dan berharap supaya tidak keterlaluan dalam mengadakan rumah terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 9:59 AM
DR Mahathir berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir, Timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dataran Putra, Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DR Mahathir berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir, Timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dataran Putra, Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor