SIKAP berlapang dada dan bermaaf-maafan adalah sikap mulia yang diajarkan oleh Islam. FOTO Arkib NSTP
SIKAP berlapang dada dan bermaaf-maafan adalah sikap mulia yang diajarkan oleh Islam. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Shukri Hanapi

Suasana harmoni, aman dan tenteram, jauh daripada permusuhan merupakan keinginan setiap orang. Bagi mengecapi kehidupan yang penuh kedamaian itu, setiap individu hendaklah saling bermaaf-maafan di kala ada melakukan sesuatu kesalahan antara satu sama lain.

Berhubung perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kalian bersumpah bahawa mereka  (tidak)  akan memberi  (bantuan)  kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kalian tidak ingin Allah mengampuni kalian? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Nur ayat 22)

Dalam Tafsir Ibn Kathir (Tafsir al-Qur'an al-'Azim), ayat ini diturunkan berikutan tindakan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA yang terlalu marah terhadap Mistah yang turut menyebarkan cerita fitnah (Kisah  Ifki) terhadap anaknya, Aisyah. Atas sebab itu, beliau telah bersumpah tidak akan memaafkan Mistah dan akan menghentikan bantuan yang diberikan kepadanya. Namun ternyata tindakan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA itu dilarang oleh Allah SWT kerana sebaik-baik orang ialah yang berlapang dada dan mudah memberi kemaafan.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa manusia yang sedang marah disebabkan oleh perbuatan orang lain yang menyebarkan berita fitnah dan tuduhan palsu seperti yang dihadapi oleh Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan ahli keluarganya ini, diminta oleh Allah SWT supaya mengambil jalan kemaafan dan berlapang dada.

Selain itu, turut dinyatakan juga sikap Nabi Yusuf AS yang boleh dicontohi. Baginda pernah dianiaya oleh abang-abang kandungnya sendiri dengan dicampakkan ke dalam perigi yang gelap-gelita. Kemudian Baginda ditinggalkan di tengah-tengah hutan belantara seorang diri. Dengan pertolongan Allah SWT, Nabi Yusuf AS akhirnya selamat dan ditakdirkan menjadi sebahagian daripada keluarga wazir di Mesir. Ketika berada dalam keluarga wazir di Mesir, Baginda difitnah pula oleh Zulaikha. Akibatnya, Baginda dipenjarakan tanpa diberi pengadilan.

Namun demikian, Nabi Yusuf AS tidak pernah berdendam dengan abang-abangnya dan juga Zulaikha. Semua perbuatan mereka telah dilupakan oleh Baginda. Bahkan ketika Baginda menjawat jawatan sebagai menteri perekonomian Mesir, beliau amat rindu kepada abang-abangnya itu dan ingin bertemu dengan mereka. Akhirnya keinginan Nabi Yusuf AS dikabulkan Allah SWT.

Jika disoroti pula sirah kehidupan Rasulullah SAW, Baginda tidak pernah berdendam dengan orang yang suka menyakitinya. Segala perbuatan yang menyakitkan hatinya dan pengikutnya hilang begitu sahaja.

Misalnya, ketika peristiwa  Fath Makkah  (pembukaan Kota Makkah), Abu Sufyan berserta pengikutnya seperti Muawiyah bin Abu Sufyan, Ikrimah bin Abu Jahal dan Hakim bin Hizam tidak henti-henti menyakiti Rasulullah SAW dan pengikut Baginda. Meskipun begitu, setelah Kota Makkah dapat dibebaskan, Baginda tidak melakukan pembalasan kepada mereka. Bahkan Baginda memberikan suatu penghormatan kepada Abu Sufyan dengan menyeru orang-orang Quraisy pada waktu itu dengan berkata: "Sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abu Sufyan pasti ia akan selamat."

Rasulullah SAW juga pernah memaafkan seorang Arab Badawi yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid. Baginda menegah orang ramai daripada mengerumuni dan menghalanginya. Menurut Anas bin Malik RA sebaik sahaja orang tersebut pergi, Rasulullah SAW meminta sebaldi air, lalu mencurah ke atasnya iaitu membasuhnya.

Sikap mulia Rasullullah SAW yang sentiasa berlapang dada dan suka memaafkan musuh-musuh Islam seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa pemimpin masyarakat musyrikin Makkah ketika itu, menyebabkan suasana hidup aman damai dapat dipertahankan. 

Apabila sifat maaf-memaafi antara satu sama lain diamalkan oleh Baginda SAW, hasil dakwah Rasulullah SAW adalah positif. Dengan mengamalkan sikap mulia ini, Islam dapat disebarkan dengan meluas.

Semua peristiwa di atas boleh dijadikan teladan bagi kita agar sentiasa memberi maaf kepada setiap orang apabila terdapat kesalahan dalam pergaulan. Hal ini bukan bererti memberi maaf itu termasuk dalam golongan yang lemah dan penakut, sebaliknya cara itu dapat memberi kesan baik kepada orang yang diberi maaf.

Hal ini sudah pasti menyebabkan perasaan dendam tidak timbul, malahan membuahkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.  Akhirnya suasana harmoni dan sejahtera dalam kehidupan sesebuah masyarakat dapat diwujudkan.

Di Malaysia, amalan bermaaf-maafan sudah menjadi suatu kebiasaan yang sangat terpuji terutamanya ketika di bulan Syawal. Ia bagaikan sudah sebati dalam jiwa masyarakat Islam di Malaysia. 

Mereka sedar pergaulan dalam tempoh setahun itu sudah tentu tidak dapat lari daripada pelbagai kesalahan, baik yang disengajakan atau tidak. Oleh itu, untuk mengelak daripada saling dendam-mendendami, mereka bersalam-salaman memohon maaf antara satu sama lain.

Secara tidak langsung, dengan wujudnya amalan ini dalam masyarakat Islam, bermakna konsep kembali kepada fitrah dan kebersihan; suci daripada pencemaran dosa dan kesalahan terhadap Allah SWT; dan sesama insan yang ada pada Aidilfitri telahpun terlaksana.

Perlu ditegaskan bahawa sikap berlapang dada dan bermaaf-maafan ini adalah satu sikap yang mulia yang diajarkan oleh Islam. Keunggulan dan kemuliaan sikap kemaafan itu telah meletakkan kemaafan sebagai salah satu sikap penting yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam. 

Misalnya, dalam kehidupan sesebuah rumah tangga, sekiranya berlaku pertelagahan antara suami dengan isteri, maka si suami hendaklah sentiasa memaafkan si isteri, manakala si isteri pula memaafkan si suami. Jika sikap saling maaf-memaafi ini dapat diamalkan dalam kehidupan rumah tangga, nescaya masalah keruntuhan rumahtangga dapat dihindari.

Begitulah juga antara kita dengan sahabat-handai, jiran tetangga dan sesiapa sahaja, apabila berlakunya perselisihan faham, maka hendaklah segera bermaafan supaya tidak berlaku perkara yang lebih buruk seperti pergaduhan.  

Sekiranya konsep kemaafan ini dapat diamalkan, nescaya keadaan masyarakat khususnya di Malaysia akan menjadi aman damai, harmoni, hormat-menghormati serta dapat mempereratkan lagi hubungan silaturahim.  Dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa bermaaf-maafan menjadi aset yang sangat bernilai dan penting dalam kehidupan seharian manusia.

Jika konsep kemaafan ini tidak diamalkan dengan baik, bahkan sifat dendam pula dijadikan 'pemimpin' dalam kehidupan seharian, maka sudah pasti membawa kepada keadaan huru-hara dan ketidaktentuan dalam kehidupan.  Dengan bersemaraknya sifat dendam, seseorang manusia sanggup melakukan pembunuhan, malah kerana dendam juga manusia sanggup melakukan perkara keji dan terkutuk. 

Penulis Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 7:00 AM