Zuhainy Zulkiffli


ISU tanah wakaf Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di Georgetown dianggap selesai selepas kerajaan negeri mengumumkan projek jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) itu tidak membabitkan kawasan berkenaan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam sidang media bersama wakil kariah masjid dalam satu pertemuan di Pejabat Kerajaan Negeri, hari ini.

Ir Ahmad Zakiyuddin berkata, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) juga sudah bersetuju dengan jajaran LRT berhampiran tapak kubur dan masjid diletakkan bersebelahan serta selari dengan jejambat Jalan Sultan Azlan Shah.

Menurutnya, persetujuan itu mengambil kira bahawa jejambat LRT yang dicadangkan tidak memasuki ‘walau seinci’ pun kawasan kubur dan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, baik yang berada di atas tanah mahupun di ruang udara kedua-duanya.

“MAINPP juga mengambil maklum bahawa sebenarnya pagar kubur sedia ada sudah berada enam kaki di luar kawasan sebenar tanah wakaf dan berada di tanah simpanan jalan.

“Dengan itu, MAINPP akan mengambil tindakan serta langkah sewajarnya berhubung perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ir Ahmad Zakiyuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dan menghormati setiap garis panduan hukum hakam Islam yang sudah diputuskan Jawatan Kuasa Fatwa sebelum membuat sebarang keputusan rasmi bagi cadangan jajaran itu.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana projek pembinaan terbabit diminta menyediakan susun atur baru bagi dilaksanakan tanpa menjejaskan penjadualan asal pelaksanaan pembinaan masjid.

“Adalah difahamkan bahawa mengikut jadual asal kerja kerja menanam cerucuk akan bermula pada pertengahan Ogos 2019 dan pihak JKR sudah memberi pengesahan bahawa perubahan ini tidak akan menjejaskan kemajuan pelaksanaan projek pembinaan berkenaan.

“Justeru, Pejabat TKM I, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) akan menyelaras hal berkaitan dengan isu tanah membabitkan tanah kerajaan, tanah simpanan jalan dan tanah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang akan diserahkan kepada MAINPP bagi menampung keperluan kawasan apabila anjakan tapak masjid dibuat selain mematuhi keperluan teknikal pembangunan semua agensi yang terbabit,” katanya.

Terdahulu, satu bantahan secara aman bagi kali kedua membabitkan kira-kira 100 ahli kariah masjid berkenaan turut diadakan di pekarangan KOMTAR.

Bantahan itu adalah bagi mendesak kerajaan negeri tidak mengganggu pelan asal pembinaan masjid jamek berkenaan supaya ia dapat disiapkan menjelang Mei 2021.

Jawatankuasa Badan Bertindak Kariah Masjid Jamek berkenaan Sophian Mohd Zain berkata, pihak kontraktor, SRS Consortium Sdn Bhd juga sudah menghentikan kerja pembinaan masjid baru.

Katanya, ia sekali gus jelas menunjukkan bahawa kontraktor terbabit seolah-olah tidak mengikut pelan asal sebaliknya mengikut pelan seperti yang dimahukan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:42 PM
Sebahagian daripada Kira-kira 100 ahli kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar ketika membuat bantahan aman di KOMTAR, hari ini. Ir Ahmad Zakiyuddin (gambar kecil). Foto Danial Saad
Sebahagian daripada Kira-kira 100 ahli kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar ketika membuat bantahan aman di KOMTAR, hari ini. Ir Ahmad Zakiyuddin (gambar kecil). Foto Danial Saad