BERNAMA

LEBIH baik Malaysia Airlines Bhd ‘berkahwin’ dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.

Beliau mengambil perhatian, AirAsia pernah ‘berkahwin’ dengan Malaysia Airlines sebelumnya, merujuk kepada perjanjian pertukaran saham mereka pada 8 Ogos 2011. Perjanjian itu tidak bertahan lama, ditamatkan lapan bulan kemudian.

“Apabila perceraian itu berlaku tidak lama kemudian, Malaysia Airlines semakin teruk. AirAsia dilihat terus berada dalam keadaan ‘gila talak’ kerana diketahui ia masih berminat dengan Malaysia Airlines,” kata Kadir dalam catatan di laman Facebook beliau.

Oleh itu, lebih baik ‘berkahwin’ dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama itu berkubur, katanya.

“Namun saya faham terdapat pelamar yang lain. Saya tidak dapat katakan sama ada mereka lelaki sejati atau hanya mat jenin. Apa juga kemungkinan kesnya, rayuan saya jangan biarkan nama Malaysia Airlines berkubur,” tegasnya.

“Meskipun kerajaan dan pembayar cukai mungkin tidak mampu untuk terus kehilangan wang ke atas Malaysia Airlines, ini tidak bermakna gulung tikar satu-satu jawapannya,” katanya.

Beliau memberi bayangan syor sudah dibuat kepada kerajaan untuk Malaysia Airlines ditutup.

“Saya kata, jangan terlalu cepat. Ini tampak sebagai jalan keluar yang mudah. Saya menghidu sesuatu yang kurang menyenangkan. Malah mencurigakan,” katanya.

Malaysia Airlines, katanya, adalah nama hebat yang diiktiraf seluruh dunia, dan terdapat banyak jalinan muhibah yang terikat padanya.

“Ia adalah jenama yang mempunyai nilai kewangan agak besar”, katanya.

Kadir turut menegaskan bukan sesuatu yang memalukan untuk menjualnya.

“Malah negara kaya seperti Switzerland dan Belanda menjual syarikat penerbangan kebangsaan mereka kepada syarikat penerbangan asing – masing-masing kepada Lufthansa dan Air France.

“Malaysia Airlines sudah menjalin perkongsian dengan banyak syarikat penerbangan asing sama ada menerusi usahasama atau perkongsian kod, yang terbaru adalah dengan Japan Airlines dan Singapore Airlines,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, menutup Malaysia Airlines malah akan mewujudkan duopoli oleh AirAsia dan Malindo Airways.

“Tiada satu daripadanya dapat mengisi kekosongan itu kerana model perniagaan mereka berbeza daripada Malaysia Airlines,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 4:18 PM