FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan negeri dalam usaha menambah kemasukan penerbangan antarabangsa secara terus ke negeri itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, usaha sedang dilaksana bagi mendapatkan penerbangan terus dari China dan Indonesia.

"Dalam hal ini, (lapangan terbang) Kuching akan menerima penerbangan pertama dari Jakarta pada 15 Jun ini," katanya menjawab pertanyaan Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa).

Menurutnya, setiap minggu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) menerima 488 penerbangan daripada lapan syarikat dengan 41 daripadanya adalah penerbangan antarabangsa.

Katanya, penerbangan itu disediakan empat syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Scoot (Singapura) dan Royal Brunei (Brunei).

"Enam lagi syarikat menyediakan 447 penerbangan domestik iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, FireFly, Batik Air, My Airline dan MasWing.

"AirAsia menyediakan 19 penerbangan antarabangsa dari Singapura iaitu 12 penerbangan ke Kuching, tujuh ke Miri dan empat ke Sibu, manakala Malaysia Airlines sebanyak enam penerbangan dari Singapura ke Kuching.

"Scoot pula menyediakan sebanyak tujuh penerbangan setiap minggu dari Singapura ke Kuching dan tiga penerbangan dari Singapura ke Miri, manakala Royal Brunei pula sebanyak dua penerbangan seminggu dari Bandar Seri Begawan ke Kuching," katanya.

Bagi penerbangan domestik pula, Dr Jerip berkata, AirAsia penyedia tertinggi dengan 230 penerbangan berbanding 447 penerbangan.

"Ia membabitkan 73 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, 31 penerbangan ke Sibu, 23 ke Miri dan 17 ke Bintulu, manakala dari Kota Kinabalu ke Kuching pula sebanyak 21, ke Sibu sebanyak tujuh, 17 ke Miri dan lima ke Sibu.

"Dari Johor Bahru pula, pesawat AirAsia menyediakan 18 penerbangan ke Kuching, 12 ke Sibu dan empat ke Miri, manakala dari Pulau Pinang ke Kuching sebanyak dua penerbangan dan Kota Bharu ke Kuching pula sebanyak tiga penerbangan setiap minggu," katanya.

Sementara itu, katanya, FireFly menyediakan sebanyak 14 penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuching setiap minggu, Batik Air 22 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, My Airline 21 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, manakala MasWing pula tiga penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuching.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 12:31 PM