FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siraj Mohd Zaini


SINDIKET kereta klon dipercayai muncul semula di Selangor dan kembali aktif mencari mangsanya sejak tiga bulan lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata, pihaknya menerima 25 aduan daripada pemilik asal kenderaan yang mempunyai saman menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Menurutnya, antara kenderaan mewah diklon termasuklah Toyota Vellfire dan BMW.

“Ada aduan mendapati saman diterima di Selangor walaupun pemilik sebenar kenderaan berada di Terengganu ketika kenderaan klon terbabit disaman.

“Kebanyakan kenderaan klon ini menggunakan nombor pendaftaran sama walaupun warna dan aksesori keretanya berbeza,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri JPJ Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya kenderaan itu dibawa masuk dari negara jiran dan pembeliannya dilakukan menerusi orang tengah atau atas talian.

“Ada mangsa mengadu membeli kereta klon Toyota Vellfire berharga lebih RM100,000.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 39 kes dilaporkan di Selangor membabitkan kenderaan klon bagi tempoh tiga tahun bermula 2017 dan empat kes bagi tahun ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Nazli berkata JPJ Selangor mengeluarkan 578 saman menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 29 Mei hingga 13 Jun lalu.

Katanya, saman tertinggi direkodkan adalah tiada lesen memandu atau tamat tempoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 4:09 PM