Gambar fail kereta klon yang disita JPJ di seluruh Melaka tahun lalu.
Gambar fail kereta klon yang disita JPJ di seluruh Melaka tahun lalu.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah menyita 2,300 kereta klon dari Januari tahun lalu sehingga kini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, negeri Johor dan Kelantan adalah negeri yang paling banyak didapati menggunakan kereta klon.

Beliau berkata, keadaan itu amat membimbangkan namun berharap angka itu dapat diturunkan selepas Permit Masuk Kenderaan (VEP) dilaksanakan pada bulan depan.

"Kenderaan klon yang disita sehingga bulan ini termasuk kereta jenis BMW, Toyota, Honda, Mazda Mitsubishi, Mercedes dan Suzuki.

"Kenderaan ini diseludup masuk negara ini dari Singapura oleh sindiket tertentu yang turut beroperasi di laman sosial terutama Facebook berikutan terdapat permintaan oleh pembeli di negara ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri 2017 di JPJ Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Menurut Ab Aziz, kenderaan yang dibawa masuk itu akan diklon menggunakan nombor pendaftaran orang lain dan digunakan di negeri lain.

"Saya ingin menasihati kepada pengguna supaya berhati-hati dalam membeli kenderaan bagi mengelakkan ditipu sindiket ini.

"Walaupun harga yang ditawarkan jauh lebih murah dari harga pasaran namun kenderaan itu tidak boleh digunakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 3:48 PM