BAYI yang menjadi rebutan netizen.
BAYI yang menjadi rebutan netizen.
Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: Seorang bayi dibuang di dalam semak manakala seorang lagi sengaja ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Nasib dua bayi perempuan malang itu bagaimanapun terbela apabila diselamatkan dan diberi kasih sayang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru.

Biarpun dibuang keluarga, kedua-dua bayi perempuan itu sebaliknya menjadi rebutan dalam kalangan puluhan netizen yang mahu menjadikan mereka sebagai anak angkat.

Jurucakap JKM Johor Bahru berkata, situasi itu dialami dua bayi itu termasuk yang ditinggalkan ibu kandung pada 12 Jun lalu di kawasan semak di Larkin dan di HSA pada 27 April lalu.

Beliau berkata, bayi yang diselamatkan daripada kawasan semak kini berusia 10 hari manakala bayi yang dirujuk daripada HSA kini berusia 15 minggu.

Katanya, kedua-dua bayi terbabit dalam keadaan baik namun sehingga kini tiada waris yang tampil menuntut mereka.

“Bayi ditemui di kawasan semak akan diambil JKM pada hari ini dan jabatan berkenaan akan mendapatkan perintah jagaan sementara.

“Buat masa ini tiada sebarang perkembangan kes dan tiada mana-mana waris menuntutnya,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, ramai netizen yang prihatin dengan nasib bayi itu menyatakan hasrat menjadikan mereka sebagai anak angkat.

“Ia termasuk menerusi panggilan telefon selain 10 netizen sanggup ke pejabat JKM bagi tujuan sama, tetapi kebanyakan mereka belum berdaftar di bawah permohonan Anak Pelihara JKM.

“Jabatan hanya memilih sebuah keluarga pelihara dan akan menjalankan proses lanjut mengikut prosedur ditetapkan.

“Sekiranya tiada masalah selepas dokumen sijil lahir siap, JKM akan membuat permohonan untuk menyerahkan bayi dinamakan sebagai Iris Inara kepada keluarga angkat,” katanya.

Beliau berkata, bayi perempuan yang ditinggalkan di HSA juga menjadi rebutan ramai untuk dijadikan anak angkat.

Menurutnya, bayi itu mempunyai nenek, namun wanita terbabit tidak mampu memberi jagaan kepadanya atas faktor kesihatan.

Katanya, JKM merancang untuk memproses permohonan sijil kelahirannya di JPN.

“JKM masih memberi peluang kepada ibu kandungnya tampil menuntut anaknya.

“Sekiranya wanita berusia 30-an itu tidak tampil dalam tempoh sebulan, mungkin JKM akan memilih keluarga pelihara sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:31 AM