Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

Kuala Lumpur: "Tiada niat untuk buang anak ini sebab yang bersalah saya bukan dia," kata Hani, 20-an.

Hani berkongsi kisahnya terpaksa menyerahkan bayi dilahirkan kepada keluarga angkat selepas terlanjur dengan teman lelakinya.

"Biarpun terlanjur dengan teman lelaki, saya rasa anak ini layak dilahirkan, tetapi saya tak mampu nak jaga dia kerana saya masih belajar.

"Jadi, saya putuskan beri orang lain jaga, tetapi orang itu beri saya upah macam saguhati kira-kira RM5,000," katanya.

Manakala, usahawan kontroversi, Iqbal Zulkefli, 27, pula berkata, dia tidak menyangka hasratnya mengambil anak angkat dipermudahkan apabila kenalannya yang berdepan kesempitan hidup rela hati menyerahkan bayi yang baru dilahirkan kepadanya untuk dipelihara.

"Saya bermimpi, malah keluarga terdekat mimpi saya akan ada ramai anak angkat. Tiba-tiba saya dapat tahu orang yang jauh dengan saya, bukan saudara saya sedang mengandung dan dia tanya sama ada saya mahu menjaga anaknya.

"Saya ambil anak angkat itu dan anggap ini adalah tanggungjawab saya. Allah sudah takdirkan untuk menjaganya," katanya.

Katanya, sebelum ini pernah terdetik di hatinya untuk mengambil anak angkat di rumah kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun prosedur yang memakan masa lama membantutkan hasratnya.

Wan Noraidah Wan Mohd Zain
Wan Noraidah Wan Mohd Zain

"Apabila saya pergi tempat macam itu jadi leceh sikit pengurusannya dan membabitkan hal lain. Itu jadi susah," katanya.

Mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap bayi bernama Ahmad Ziyad ini, Iqbal nekad untuk melalui proses pendaftaran secara sah bagi memastikan kebajikan anak angkatnya itu terjamin.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wan Noraidah Wan Mohd Zain berkata, akta menetapkan tempoh tujuh hari untuk memaklumkan kepada JKM tentang pengambilan anak angkat.

"Kuasa pelindung dalam Akta Seksyen 35 menyatakan, pelindung ada kuasa untuk memberi kebenaran kanak-kanak itu dijaga oleh ibu bapa pelihara itu.

"Jadi, ada dua kaedah kepada masyarakat iaitu sama ada pengambilan anak angkat itu melalui saudara-mara atau orang lain," katanya.

Katanya, orang ramai yang mahukan anak angkat juga boleh memohon melalui JKM.

"Daripada 600 permohonan anak pelihara dari 2019 sehingga kini yang diterima JKM, hanya 25 orang sahaja layak dipertimbangkan berdasarkan kriteria pemohon.

"Daripada jumlah itu, hanya tiga orang sahaja pemohon yang menerima tawaran selebihnya menolak berikutan bayi yang ada tidak menepati kemahuan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 7:00 AM