Hadzlihady Hassan


LELAKI RM50, perempuan percuma. Itu caj dikenakan penganjur parti liar untuk berpesta dadah dalam dua bilik sebuah hotel di Jalan Bukit Gambir, di Georgetown, hari ini.

Bagaimanapun, perbuatan 17 individu terdiri daripada 12 lelaki dan lima perempuan terbongkar apabila dicekup sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut.

Dalam Op Parti Liar jam 2.30 pagi itu, semua mereka dikatakan sedang khayal dengan empat daripada peserta pesta dadah berkenaan masing-masing dua lelaki dan dua perempuan dikesan masih di bawah umur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan enam lelaki dan empat perempuan yang berada dalam sebuah bilik di hotel terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut kita menemui lapan peket syabu seberat 15.06 gram (g) bersama sepeket ketamin (6.86g) dengan jumlah kedua-duanya bernilai RM3,228.

“Kita juga turut merampas peralatan menghisap syabu yang ditemui di atas meja makan,” katanya dalam satu kenyataan.

Che Zaimani berkata, susulan daripada itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berhampiran kolam renang dan pemeriksaan mendapati dia memiliki kad akses untuk masuk ke sebuah lagi bilik di hotel berkenaan.

“Polis kemudian menyerbu sebuah lagi bilik dan menahan lima lelaki serta seorang perempuan selain turut merampas sepeket ketamin seberat 0.69 g dan sebiji pil ekstasi bernilai RM30 di atas rak televisyen.

“Pemeriksaan air kencing mendapati 11 lelaki serta tiga perempuan yang ditahan itu positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan berusia 16 hingga 31 tahun dan empat remaja bawah umur terbabit sudah tidak bersekolah, manakala yang lain ada yang bekerja sebagai penarik kereta, jurujual, kilang dan kontraktor.

“Siasatan awal juga mendapati semua mereka sudah berada di hotel terbabit sejak Khamis lalu dan dua lelaki yang ditahan dikesan menjadi penganjur parti liar berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 2:18 PM