KEADAAN gerai Nasi Lemak Warisan Bachang selepas dirempuh kenderaan dipandu lelaki warga emas yang terbabas di Jalan Tun Perak. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN gerai Nasi Lemak Warisan Bachang selepas dirempuh kenderaan dipandu lelaki warga emas yang terbabas di Jalan Tun Perak. FOTO IHSAN PEMBACA
Nurul Fhatihah Zakinan


SEORANG lelaki warga emas nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas lalu merempuh gerai makan di Jalan Tun Perak, Melaka, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, semalam, Yip Tin Tuck, 73, memandu kereta Perodua Myvi sebelum hilang kawalan dan terbabas ke gerai makan hingga mengakibatkan kerosakan di premis itu.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila pemandu yang mahu memulakan perjalanan dari parkir berhampiran gerai Nasi Lemak Warisan Bachang itu tertekan pedal minyak kereta.

“Tindakan itu menyebabkan kenderaan dipandu lelaki terbabit bergerak laju ke arah hadapan hingga terlanggar tiang premis.

“Kejadian turut mengakibatkan kerosakan terhadap struktur gerai dan pemiliknya sudah membuat laporan polis selain terdapat kesan terbabas di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Afzanizar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 4:36 PM