MOHAMMAD Faissol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan membakar rumah ibu saudaranya. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
MOHAMMAD Faissol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan membakar rumah ibu saudaranya. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Aizat Sharif


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas pertuduhan membakar rumah milik tiga ibu saudaranya yang cacat penglihatan di Kampung Titi Besi, Arau pada 2 Jun lalu.

Tertuduh, Mohammad Faissol Kassim, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan maksud hendak menyebabkan kerosakan terhadap sebuah rumah pada 2 Jun lalu jam 4.30 petang di No 86E Belakang Kompleks Bernas, Kampung Titi Besi, Arau.

Mohammad Faissol didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam Norhaniza Rusli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Jodia dalam hujahannya meminta supaya mahkamah tidak memberi jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahannya yang serius namun Norhaniza menyatakan kesalahan mengikut seksyen berkenaan boleh dijamin di mahkamah.

Selain itu juga, Norhaniza meminta suatu jaminan yang minimum dapat diberikan memandangkan anak guamnya itu adalah seorang bapa tunggal kerana bercerai dan terpaksa menjaga dua anak berusia lapan dan sembilan tahun, ibu dan bapa tirinya yang lumpuh serta tiga ibu saudaranya yang cacat penglihatan yang juga adalah mangsa dalam kes ini.

Monica memberi jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh dan menetapkan 18 Jun hadapan sebagai tarikh penyerahan dokumen berkaitan kes berkenaan serta penetapan untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Namun, disebabkan tertuduh tidak mampu untuk membayar wang jaminan yang ditetapkan, dia terpaksa ditahan di penjara.

Pada 2 Jun lalu, tiga beradik warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan tinggal sehelai sepinggang selepas segala persiapan menjelang Aidilfitri musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kebakaran itu, rumah pusaka didiami Khalijah Ibrahim, 98, Zainah, 79, dan Che Manai, 73, musnah sepenuhnya menyebabkan ketiga-tiganya terpaksa menumpang di rumah anak saudara buat sementara waktu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Anak saudara tiga beradik buta ditahan

Aidilfitri 'terpilu' tiga beradik buta

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 2:45 PM