NOR Fatihah bersama tiga anaknya ditemui di Perkarangan Padang Bank, Kota Bharu.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NOR Fatihah bersama tiga anaknya ditemui di Perkarangan Padang Bank, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEORANG ibu sanggup mengemis demi membeli baju raya untuk lima anaknya yang masih kecil.

Tindakan itu terpaksa dilakukan ibu berusia 26 tahun, yang sudah dua malam mengemis di perkarangan Padang Bank di Kota Bharu, bersama tiga anaknya yang berusia antara lima hingga sembilan tahun.

Wanita itu yang berasal dari Berek 12 berkata, dia hanya datang mengemis dua hari sebelum menyambut Syawal sahaja dan pada hari biasa dia mengambil upah membersihkan rumah orang.

“Sudah dua tahun saya terpaksa mengemis sebegini demi membeli baju raya anak sejak suami menghilangkan diri ketika saya mengandungkan anak bongsu yang kini berusia dua tahun.

“Upah yang saya terima untuk membersihkan rumah orang hanya RM10 setiap kali dibuat dan dihabiskan terus untuk beli makanan, malah kerja itu bukan setiap hari diminta,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Menurutnya, dia mempunyai kepandaian membuat kuih, namun kekangan modal untuk membeli peralatan menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa malah untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib juga tidak boleh disebabkan statusnya digantung tidak bertali.

Katanya, sejak kelmarin dia mengemis di perkarangan Padang Bank itu, hasil yang diperoleh masih belum mencukupi untuk membeli baju raya untuk lima anaknya, termasuk dua yang ditinggalkan di rumah.

“Saya datang 8 pagi kelmarin dengan ‘menambang’ kereta sewa dan pulang ke rumah 3 pagi semalam kerana masih ada anak kecil yang ditumpangkan di rumah abang.

“Pada 8 pagi semalam kami lima beranak datang kembali ke sini dengan harapan akan memperoleh rezeki yang lebih semata-mata untuk membeli sepasang sahaja baju raya untuk semua anak saya,” katanya.

SUNNY (kanan) menyampaikan sumbangan beras serta wang tunai kepada Nor Fatihah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SUNNY (kanan) menyampaikan sumbangan beras serta wang tunai kepada Nor Fatihah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Ibu malang itu adalah antara ratusan pengemis dan gelandangan yang ditemui di sekitar Padang Bank di Kota Bharu yang memenuhi perkarangan itu, terutama sepanjang Ramadan, malah semakin ramai ketika menjelang Syawal.

Nasib mereka agak cerah apabila dikunjungi seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Sunny Ung, yang menyampaikan sumbangan dalam bentuk beras serta wang tunai.

Dalam kunjungan yang bermula 11 malam hingga 1 pagi itu, Sunny turun padang menyampaikan bantuan kepada pengemis dan gelandangan sambil berbual.

Sunny berkata, sumbangan kepada gelandangan dan pengemis itu dibuat sejak 12 tahun lalu kepada yang beragama Islam bagi menyambut Aidilfitri serta diberikan tanpa mengira asal-usul.

“Untuk malam ini dianggarkan 400 hingga 500 orang yang berada di sekitar Padang Bank ini yang mana separuhnya adalah orang tempatan dan selebihnya warga Thailand.

“Kita memohon pihak berwajib khususnya agensi kerajaan lebih prihatin dan dapat membantu golongan yang memerlukan seperti ini terutama warga tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 11:53 AM