MOHAD Idris (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rosli disaksikan Norazman (tengah). FOTO Ahmad Ismail
MOHAD Idris (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rosli disaksikan Norazman (tengah). FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail.


SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat keluarga Rosli Abu Bakar apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak memberi bantuan membaik pulih kediamannya, menyerahkan sumbangan barang dapur dan keperluan harian.

Rosli, 59, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya dan bersyukur dengan bantuan itu, terutama keprihatinan IPD Tangkak menggantikan zink rumahnya di Kampung Hang Tuah, Sagil di Tangkak, kelmarin.

Program khidmat sosial ditaburkan sempena Ramadan memperlihatkan keprihatinan polis yang melangkaui tugas hakiki dalam menjaga ketenteraman awam.

Rosli berkata, sumbangan itu cukup bermakna buat keluarganya, tambahan pula dia terpaksa menanggung enam anak dan ibunya yang sudah uzur.

“Saya tidak perlu lagi risau air melimpah memasuki rumah apabila hujan selepas zink rumah digantikan dengan yang baru.

“Saya syukur dan dalam masa sama berterima kasih kepada anggota polis IPD Tangkak yang bergotong-royong bersama penduduk kampung membaiki rumah saya yang usang,” katanya ditemui di kediamannya, kelmarin.

Rosli juga memberi penghargaan terhadap keprihatinan Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri dan anggotanya yang memberikan sumbangan itu sekali gus menceriakan mereka menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Mohad Idris berkata, inisiatif mengadakan program khidmat sosial bagi membantu individu atau keluarga kurang berkemampuan.

“Ia adalah aktiviti tahunan IPD Tangkak sempena Ramadan, bahkan warga IPD Tangkak secara sukarela memberikan sumbangan bagi menjayakan program berkenaan bagi meringankan beban keluarga yang dipilih.

“Diharapkan usaha ini menjadi landasan warga IPD Tangkak mendekati masyarakat kampung.

“Malah, saya sentiasa menggalakkan pegawai dan semua anggota supaya dapat membina hubungan lebih erat dan mesra bersama masyarakat,” katanya dipetik dari laman Facebook (FB) Polis Daerah Tangkak.

Hadir sama dalam program itu Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abd Rahman, Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Tangkak Dalilah Basiron dan Ketua Kampung Hang Tuah Norazman Abu Bakar.

MOHAD Idris (tengah) bersama Norazman bergambar kenangan bersama penduduk kampung. FOTO Ahmad Ismail
MOHAD Idris (tengah) bersama Norazman bergambar kenangan bersama penduduk kampung. FOTO Ahmad Ismail

Norazman berkata, melalui program bersama masyarakat yang dilaksanakan IPD Tangkak itu, ia dapat merapatkan lagi hubungan antara penduduk kampung dan polis.

Katanya, moto ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dapat membina hubungan dua hala dalam menyalurkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan pihak berkuasa.

“Kami berterima kasih kepada IPD Tangkak yang bersama penduduk kampung bergotong-royong membaiki kediaman keluarga Rosli, memberikan sumbangan keperluan dapur dan berbuka puasa bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 1:51 PM