Dua pelatih PUSPEN yang diburu polis selepas melarikan diri PUSPEN Bukit Gambir, hari ini. FOTO Ihsan IPD Tangkak
Dua pelatih PUSPEN yang diburu polis selepas melarikan diri PUSPEN Bukit Gambir, hari ini. FOTO Ihsan IPD Tangkak
Badrul Kamal Zakaria


POLIS memburu dua tahanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Jalan Sengkang, Bukit Gambir, Tangkak, yang melarikan diri, pagi hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia 36 tahun terbabit dipercayai memanjat pagar belakang pusat berkenaan sebelum melarikan diri, kira-kira 7.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, pengurusan PUSPEN membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bukit Gambir, 9.20 pagi hari ini.

Katanya, susulan laporan itu, polis giat menjalankan usaha mengesan kedua-dua suspek berkenaan.

“Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 7.10 pagi apabila beberapa pelatih (tahanan) lain di pusat berkenaan menyedari tindakan dua rakan mereka yang dipercayai memanjat pagar di belakang PUSPEN itu.

“Mereka kemudiannya melaporkan kejadian kepada anggota polis bantuan yang bertugas di pusat berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebaik menerima laporan itu, polis melancarkan operasi mengesan kedudukan kedua-dua lelaki berkenaan.

“Kami memohon orang ramai, termasuk ahli keluarga pelatih terbabit supaya memaklumkan polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu, atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.

“Mereka juga boleh hubungi PUSPEN Bukit Gambir untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rakaman gambar dua pelatih PUSPEN yang melarikan diri PUSPEN Bukit Gambir, tular di media sosial. FOTO IPD Tangkak
Rakaman gambar dua pelatih PUSPEN yang melarikan diri PUSPEN Bukit Gambir, tular di media sosial. FOTO IPD Tangkak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 9:58 PM