Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Meskipun sudah berusia hampir satu abad, namun warga emas dari Kampung Kubang Cherang, Wakaf Che Yeh, di sini, masih aktif menjahit pakaian yang dihantar oleh pelanggannya.

Che Hamat Che Pa, 92, berkata, dia mula belajar menjahit dengan arwah sepupunya Wan Ibrahim Che Abdullah ketika berusia 16 tahun disebabkan minat mendalam dalam bidang jahitan.

Katanya, dalam usia yang semakin tua, dia bersyukur kerana masih lagi dikurniakan kesihatan yang baik selain tidak mempunyai sebarang penyakit, kecuali dua tahun lalu dia menjalani pembedahan di mata sebelah kiri.

"Selalunya ketibaan Ramadan dan Aidilfitri saban tahun pastinya menjadi lubuk rezeki berganda buat tukang jahit pakaian, namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19, tempahan baju raya dalam kalangan tukang jahit tidak lagi sebanyak seperti tahun sebelum ini.

"Tahun ini, pak cik hanya menerima 30 tempahan menjahit baju raya setakat ini, berbanding 100 pasang baju pada tahun sebelumnya.

"Tidak dinafikan sejak penularan Covid-19 selain PKP, ia memberi impak ketara kepada tukang jahit seperti pak cik, namun hakikatnya semua orang melalui situasi yang sama pada ketika ini," katanya ketika ditemui di kedai jahitnya Harison Style di Kampung Kubang Cherang, Wakaf Che Yeh.

Ayah kepada lima anak, 20 cucu serta cicit ini berkata, walaupun tempahan baju raya yang diterima tidak banyak seperti sebelum ini, namun dia tetap bersyukur kerana masih ada yang menghantarnya untuk dijahit.

"Jika sebelum ini, pak cik dibantu oleh beberapa orang pekerja, namun sebaik PKP dilaksanakan di Kelantan, kebanyakan daripada mereka tidak dapat datang disebabkan larangan merentas daerah dan kini, saya hanya dibantu oleh isteri, Zawahir Abdullah, 60.

"Berikutan tempahan baju raya yang diterima tidak banyak, pak cik mempunyai masa terluang lebih banyak berbanding sebelum ini dan dalam sehari hanya menjahit satu atau dua pasang sahaja," katanya.

Katanya, bagi menjahit sepasang baju Melayu, upah yang diambil ialah RM130, jubah lelaki (RM70), jubah perempuan (RM50), manakala baju kurung pula antara RM45 hingga RM50.

CHE HAMAT menyiapkan tempahan pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
CHE HAMAT menyiapkan tempahan pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 9:14 AM