GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


TERUJA melihat iklan telefon pintar jenis iPhone 8 Plus dijual pada harga murah, remaja perempuan berputih mata selepas kerugian RM2,950 diperdayakan sindiket penipuan jualan barang di laman sosial Instagram.

Kejadian berlaku Sabtu lalu apabila mangsa berusia 19 tahun berminat membeli iPhone 8 Plus selepas melihat iklan diletakkan dalam laman sosial itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian berurusan dengan lelaki dan hasil perbincangan, suspek bersetuju menjual telefon itu pada harga RM1,200.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang RM1,200 ke akaun diberikan suspek, Ahad lalu.

“Namun suspek meminta mangsa membuat penambahan wang RM1,750 atas alasan ‘postage error’ dan akan memulangkan baki wang bersama telefon itu,” katanya dalam di Kuantan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat pemindahan wang RM1,750 dari akaunnya ke akaun sama pada hari berkenaan.

“Selepas membuat pemindahan wang, mangsa gagal berhubung dengan suspek dan mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

“Sehingga kini, mangsa masih belum menerima telefon bimbitnya malah nombor diberikan suspek juga sudah dinyah aktifkan,” katanya.

Katanya, modus operandi suspek adalah menawarkan penjualan telefon pintar iPhone 8 Plus yang tidak wujud di laman Instagram pada harga murah.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 11:21 AM