FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Hasbi Sidek


PADAH menerima tujuh kayu golf yang hanya bernilai kira-kira RM1,900, seorang jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebuah daerah di Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, Shah Alam, 3.30 petang, ketika hadir memberikan keterangan.

Sumber berkata, suspek menerima ‘hadiah’ berkenaan daripada seorang kontraktor sebagai balasan untuk mendapatkan tender kerja penyelenggaraan jalan di sebuah daerah di Selangor.

“Suspek yang bertugas sebagai jurutera selenggara dan fasiliti JKR Daerah di Selangor menerima tujuh kayu golf bernilai lebih RM1,990 di pejabatnya pada 15 Mac lalu kerana membantu seorang kontraktor mendapatkan kerja dengan Pejabat JKR Daerah.

“Kontrak berkenaan membabitkan kerja mengecat semula garisan jalan dan lain-lain kerja berkaitan di jalan negeri dalam sebuah daerah yang dianggarkan bernilai lebih RM220,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim berkata, susulan maklumat yang diterima, pihaknya menahan suspek.

“Permohonan reman terhadap suspek dilakukan pagi ini di Mahkamah Shah Alam. Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 10:31 AM