Zatul Iffah Zolkiply


PERBUATAN jijik pemotong rumput merogol anak saudara yang juga pelajar kurang upaya kategori lembam terbalas selepas Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 41 tahun dari Besut mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Besut antara jam 2 hingga 6 petang pada 2 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh mengulangi kesalahan sama di lokasi sama antara jam 2 hingga 6 petang pada 5 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 8 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, guru bertanya kepada mangsa selepas melihat pelajar itu muram dan tidak memberi perhatian di dalam kelas kira-kira jam 9 pagi pada 7 Mei lalu.

Guru wanita itu berjumpa dan bertanya masalah yang dihadapinya sebelum mangsa memaklumkan dirogol tertuduh.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, tertuduh ditahan di sebuah rumah di Besut kira-kira jam 1 pagi pada 8 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 3:06 PM
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO Rozainah Zakaria
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO Rozainah Zakaria