MAS Fadila (berbaju hijau) dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan menggunakan wang palsu. FOTO Amran Yahya
MAS Fadila (berbaju hijau) dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan menggunakan wang palsu. FOTO Amran Yahya
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya


KAKITANGAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah atas dua dakwaan menggunakan wang palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu sebaik tertuduh, Mas Fadila Senin, 34, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Mas Fadila didakwa menggunakan sekeping not RM100 palsu bernombor siri BF 4118883 di sebuah kedai gajet di Bahau, Jempol pada jam 9 malam, 24 September tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan sekeping not RM100 palsu bernombor siri CD 9788864 di sebuah bengkel motosikal di Taman Cempaka, Bahau pada jam 3.10 petang, 24 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kelihatan tenang merayu dijatuhi hukuman ringan kerana menanggung seorang anak lelaki yang masih bersekolah.

Nariman mengarahkan tertuduh dipenjara serentak lima tahun bagi dua pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan pada 24 Oktober tahun lalu.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 12:37 PM