GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hasbi Sidek


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan migrain beroperasi sejak tahun lalu yang dikenal pasti mempunyai rangkaian di Sri Lanka, Eropah dan Malaysia.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM pada 30 April lalu melancarkan satu operasi dan berjaya melumpuhkan sindiket itu yang turut memalsukan dokumen perjalanan membabitkan warganegara Sri Lanka.

“Dalam operasi berkenaan, tangkapan dilakukan ke atas seorang wanita Malaysia dan seorang wanita Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

“Mereka cuba berlepas ke Eropah menggunakan pasport antarabangsa Malaysia yang dipalsukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hamid berkata, empat lagi suspek membabitkan tiga rakyat Sri Lanka dan seorang Jerman ditahan di sekitar ibu negara.

Katanya, dalam satu lagi tindakan susulan pada 2 Mei lalu, PDRM berjaya menahan lima suspek membabitkan dua orang tempatan dan tiga Sri Lanka di sekitar Selayang, Selangor.

“Lima daripada yang ditahan, disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang Antipenyeludupan Migrain (Atipsom) 2007.

“Manakala enam migrain Sri Lanka akan dituduh mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan masuk dan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan tidak sah atau jalan tidak diwartakan ke Eropah,” katanya.

Dengan tangkapan ini, katanya, PDRM berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan migrain yang licik.

“Sindiket ini beroperasi sejak pertengahan 2018 dan mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Eropah dan Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 8:06 PM