SAKIB Kusmi.
SAKIB Kusmi.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Imigresen menumpaskan satu rangkaian sindiket pemalsuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang didalangi warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Ahad lalu.

Ketua Pengarah, Datuk Sakib Kusmi berkata, kejayaan itu berikutan penahanan empat suspek yang disyaki warganegara Sri Lanka, dengan dua daripadanya dipercayai ejen dalam rangkaian sindiket berkenaan.

"Dua suspek lelaki pertama ditahan di bangunan satelit KLIA ketika sedang menunggu penerbangan ke Amsterdam, Belanda dan ketika pemeriksaan kedua-dua suspek mengemukakan dokumen PMA yang disyaki palsu

"Namun, pemeriksaan lanjut turut menemui dua pasport Sri Lanka sebenar kepunyaan masing-masing. Berikutan itu, kedua-duanya ditahan mengikut Akta Imigresen dan Akta Pasport," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sakib berkata, sementara dua lagi warga Sri Lanka yang dipercayai ejen turut ditahan di Tingkat 5 KLIA pada hari sama kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

"Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana disyaki bersubahat dengan rangkaian sindiket.

"Penahanan empat suspek ini akan membuka jalan kepada usaha mengesan dalang sebenar sindiket pemalsuan PMA, seterusnya membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 7:20 PM