Izlaily Nurul Ain Hussein


PENGAWAL keselamatan warga Nepal tergamak mencabul dan menyamun wanita yang menumpangkannya dalam kereta mangsa kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian 10.15 malam itu berlaku ketika wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai jurujual dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

“Ketika dalam perjalanan pulang, mangsa menumpangkan lelaki warga Nepal yang juga pengawal keselamatan di kawasan terbabit. Lelaki itu duduk di tempat duduk belakang kereta.

“Apabila tiba di Lebuhraya Tanjung Pelepas (PTP), tiba-tiba lelaki berkenaan menarik baju mangsa dengan kuat.

“Suspek kemudian pindah ke tempat duduk depan sebelum berlaku pelanggaran dengan kereta lain dan ketika itulah suspek mengambil telefon bimbit mangsa dan melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, suspek meninggalkan beg galas dibawanya dalam kereta mangsa dan terdapat dokumen peribadi disyaki milik suspek.

Menurut Dzulkhairi, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis giat mengesan suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:32 PM