AZIH ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
AZIH ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan membabitkan mereka secara langsung dalam apa juga dasar membabitkan penjawat awam.

Ia termasuk berkaitan pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), baru-baru ini yang tidak lagi menetapkan pengkhususan rumah mampu milik khas untuk penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penetapan itu adalah contoh keputusan yang dianggap membelakangkan kesatuan yang mewakili kira-kira satu juta penjawat awam di seluruh negara.

Katanya, Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK) jelas tidak mengambil kira pandangan CUEPACS, sedangkan kesatuan sepatutnya dirujuk untuk pembuatan keputusan yang membabitkan penjawat awam peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Dasar perumahan baharu ini adalah keputusan yang nyata akan terus menghimpit penjawat awam yang masih lagi tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Ini kerana harga rumah melebihi 60 peratus dari kemampuan kewangan bulanan mereka,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Azih berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada KPKT dalam masa terdekat untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pengumuman dasar baharu itu.

“Masih ramai penjawat awam tidak mampu membeli rumah mencecah RM300,000 dan lebih menyedihkan 80 peratus daripada mereka tiada rumah sendiri.

“Kerajaan perlu ambil kira penjawat awam sebagai pemegang taruh untuk setiap keputusan kerana golongan ini adalah tulang belakang pentadbiran negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap tiada campur tangan politik dalam pelaksanaan dasar kerajaan, terutama lantikan politik untuk pentadbiran.

Katanya, tindakan itu hanya akan merencatkan tugas penjawat awam yang terikat sebagai pelaksana dasar dengan mereka yang mempunyai kepentingan politik.

Ahad lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilapor berkata, kira-kira 9,000 pemohon rumah mampu milik dalam kalangan penjawat awam akan menjadi kumpulan pertama pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara dan SPK, tahun ini.

Katanya, ketetapan tiada lagi pengkhususan rumah mampu milik khas untuk penjawat awam dilaksanakan serta merta susulan siapnya 38,000 unit rumah mampu milik.

Malah, pelaksanaan itu juga susulan penubuhan entiti tunggal baharu bagi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA); Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB); Uda Holdings Berhad, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di bawah satu bumbung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 8:44 PM