Iskandar Shah Mohamed


AKADEMI Sistem Binaan Industri (IBS) akan diwujudkan bagi meningkatkan kepakaran dalam pembinaan rumah berteknologi tinggi di negara ini pada masa depan.

Akademi dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Awana Kijal, Terengganu, bakal dirasmikan pada 21 Mei ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan belia bagi memberi peluang kepada golongan itu mempelajari secara lebih menyeluruh mengenai IBS.

“Mereka (pelajar Akademi IBS) berupaya membantu kerajaan dalam pembangunan rumah mampu milik. sekali gus menjamin peluang pekerjaan.

“Selain itu, kewujudan akademi berkenaan mengelak pembinaan rumah berkonsepkan sektor 3D iaitu ‘Dirty, Difficult and Dangerous’,” katanya ketika berucap melancarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin

Shah Raja Ahmad, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Kata Zuraida, menerusi pembinaan akademi itu, pihaknya turut optimis mampu membantu kerajaan mencapai sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

“Setakat ini 35,000 rumah sudah dibina di seluruh negara dan kita yakin mampu mencapai sasaran 100,000 rumah dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak empat model IBS akan ditawarkan sebagai pilihan kepada pemaju perumahan dalam pembinaan rumah mampu milik.

“Semua model itu akan dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kita menggalakkan semua peringkat negeri dan swasta menggunakan model IBS terbukti mempercepatkan pembinaan sesebuah rumah dan menjimatkan sehingga 40 peratus kos buruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DRMM antara elemen di bawah Dasar Perumahan Negara yang

menggariskan standard, spesifikasi utama dan harga jualan sebagai panduan bagi pembangunan rumah mampu milik yang selesa serta selamat didiami.

“Ia menakrifkan ciri utama perumahan bagi kategori bertingkat dan bertanah seperti

keluasan, piawaian rumah berkualiti, teknologi pembangunan dan kemudahan awam.

“Dasar baharu ini memperkasakan perumahan mampu milik yang lebih sistematik, mampan dan

inklusif sebagai tanggungjawab kerajaan bagi menyedia serta meningkatkan akses perumahan kepada rakyat.

“Selain itu, DRMM mampu meningkatkan pemilikan rumah terutama bagi golongan

berpendapatan rendah dan sederhana dengan harga di bawah RM300,000 dan berkeluasan 900 kaki persegi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 3:15 PM
ZURAIDA (tengah) melakukan gimik Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DPMMN).
ZURAIDA (tengah) melakukan gimik Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DPMMN).