Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan sementara cadangan menjadikan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan (BPPP) sebagai badan berkanun.

Ia bagi membolehkan penambahbaikan semula kaedah yang digunakan berkaitan proses permohonan pinjaman perumahan penjawat awam sekali gus membantu mereka untuk memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, pihaknya menerima banyak aduan penjawat awam daripada pelbagai peringkat yang kesal dengan kelemahan kaedah memproses pinjaman berkaitan ketika ini.

“Adalah penting kerajaan melihat semula kaedah digunapakai dalam memproses permohonan pinjaman perumahan penjawat awam menjelang cadangan menjadikan BPPP sebagai badan berkanun.

“Kami (kakitangan awam) kecewa kerana ada pinjaman perumahan mengambil masa setahun setengah untuk diluluskan. Bayangkan dalam tempoh itu, harga rumah meningkat kepada beberapa peratus, dalam masa menunggu itu mereka juga perlu menyewa rumah,” katanya pada sidang media selepas meninjau anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan di Hentian Bas Pudu Raya, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad dan Setiausaha Agung CUEPACS Datuk Lok Yim Pheng.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:07 AM