POLIS melakukan pemeriksaan terhadap salah seorang wanita disyaki pelacur. FOTO Ihsan Polis
POLIS melakukan pemeriksaan terhadap salah seorang wanita disyaki pelacur. FOTO Ihsan Polis
Erika George

SEORANG wanita dipercayai pelacur nekad terjun dari tingkat satu sebuah hotel di Jalan Tanjung Batu, Bintulu, bagi mengelak daripada ditahan polis, malam tadi.

Ia selepas dia menyedari bahawa bangunan itu diserbu oleh sepasukan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili bagaimanapun berkata, cubaan suspek meloloskan diri gagal selepas kawasan persekitaran premis berkenaan sudah dikepung polis.

“Suspek yang cedera kini dirawat di Hospital Bintulu," katanya.

Beliau berkata, wanita itu antara empat wanita yang ditahan kerana terbabit aktiviti pelacuran dengan menggunakan media sosial dan aplikasi WeChat.

Menurutnya, tiga daripada mereka adalah warga asing, manakala seorang lagi wanita tempatan berusia 20-an.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit bergerak secara sendirian.

“Ketika serbuan dilakukan malam tadi, kesemua wanita itu berada dalam bilik hotel menunggu pelanggan mereka yang sudah membuat 'tempahan'.

“Turut dirampas empat telefon bimbit, tiga pasport, 14 kondom, krim pelincir seks dan wang tunai berjumlah RM4,083 dipercayai hasil dari kegiatan itu," katanya.

Zulkipli berkata, siasatan mendapati, pelanggan akan menghubungi mereka dan menetapkan bilik hotel yang akan digunakan bagi aktiviti itu.

“Hasil soal siasat juga mendapati, setiap pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM 230 selama 45 minit," katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdagangkan tubuh.

“Tiga wanita warga asing itu juga berdepan siasatan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 10:19 AM