FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan RM3.3 bilion kerugian membabitkan kebakaran struktur bangunan dan rumah sepanjang 2018.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah itu membabitkan 6,626 struktur bangunan seluruh negara.

Menurutnya, nilai kerugian ini disasarkan dapat mencatat penurunan tahun ini dengan kempen kesedaran lebih agresif dilakukan JBPM bersama komuniti.

“Kesedaran sudah ada dalam kalangan masyarakat dan pemilik bangunan namun ia masih perlu ditingkatkan agar mereka tidak berdepan kerugian bernilai jutaan ringgit.

“JPBM sentiasa optimis untuk memastikan jumlah kebakaran struktur ini dapat dikurangkan setiap tahun,” katanya pada Forum ‘Rumah Pintar, Rumah Selamat’,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Forum dianjurkan Allianz General Insurance dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya juga bercadang untuk menggunakan bahan kimia ejen pembasahan bagi mempercepatkan proses memadam kebakaran.

“Kita masih mengkaji kesesuaian penggunaan bahan kimia berkenaan dengan situasi kebakaran di negara ini namun ia ternyata berkesan memadam api lebih cepat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hanya 20 peratus pegawai dan anggota bomba dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri ini.

Katanya, ini bagi memastikan kekuatan sumber manusia sepanjang tempoh perayaan mencukupi bagi menghadapi sebarang insiden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 8:29 PM