GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Angka kematian akibat kebakaran menurun 2.5 peratus iaitu hanya 118 kes pada 2020 berbanding 121 kes pada 2019.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, peratusan bagi kematian disebabkan kelemasan di air turut menunjukkan penurunan 14.7 peratus iaitu 198 kes pada tahun lalu berbanding 232 pada 2019.

Menurut beliau, statistik penurunan kematian itu berkait rapat dengan usaha JBPM bersama rakan strategik dalam melaksanakan program khidmat nasihat masyarakat dan kesedaran awam.

"Saya percaya, peningkatan positif ini sejajar dengan pembangunan 'Fire Cover' jabatan yang sentiasa dikaji dan ditambah baik.

"Malah ia turut disumbang oleh faktor pertambahan balai bomba baharu yang beroperasi pada tahun lalu, strategi dan pra perancangan yang terkini serta berterusan," katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu JBPM secara langsung di Facebook di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan, enam fokus utama akan ditekankan bagi terus meningkatkan keupayaan dan peranan JBPM dalam sektor keselamatan pada tahun ini.

"Fokus pertama ialah melaksanakan strategi di bawah Dasar Kebombaan dan Penyelamat Negara (DKPN 2020-2030) bagi meningkatkan tahap perlindungan dan kesedaran awam terhadap keselamatan kebakaran selain pengurusan kecemasan.

"Dasar ini menggariskan empat teras utama iaitu persekitaran yang selamat, amalan dan pembudayaan keselamatan, kerjasama strategik yang inklusif serta pemantapan kapasiti dan keupayaan JBPM," katanya.

Bagi fokus kedua, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya mahu membangunkan infrastruktur, fasiliti dan sistem kebombaan serta permodenan sistem penyampaian perkhidmatan kebombaan.

"Pada tahun ini, RM169 juta sudah diluluskan di bawah Peruntukan Pembangunan (DE) bagi pelaksanaan projek-projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) serta lapan projek baharu membabitkan empat balai bomba, dua kuarters dan masing-masing satu Ibu Pejabat Negeri Pangkalan Udara.

"Sebanyak RM9.5 juta pula diperuntukkan untuk Belanja Mengurus (OE) yang akan digunakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala, di bangunan bomba seluruh negara," katanya.

Tambah Mohammad Hamdan, fokus JBPM yang ketiga ialah mahu meningkatkan tahap kompetensi dan profesionalisme warga atau sumber manusia JBPM.

"Penting untuk JBPM memiliki sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran supaya tahap perkhidmatan jabatan sentiasa berada di tahap terbaik, profesional serta cemerlang.

"Tahun ini, JBPM akan membangunkan modul bagi pengukuhan kompetensi kepada anggota pasukan khas seperti Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

"Modul itu juga untuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan Pasukan Khas Hazmat dan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear serta Letupan Nuklear (CBRNe) merangkumi penilaian ujian teori dan praktikal," katanya.

Menurut beliau, kesan Covid-19 turut membawa beberapa aspek pembaharuan yang membuka laluan kepada pembangunan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) secara kolektif sehingga menuntut agensi kerajaan meningkatkan tahap kesalinghubungan serta teknologi komunikasi masing-masing," katanya.

Fokus keempat ialah menambah baik peruntukan undang-undang keselamatan kebakaran dan memantapkan penguatkuasaan.

Bagi fokus kelima, JBPM mahu memperkasakan pembabitan secara inklusif semua pihak serta merakyatkan perkhidmatan kebombaan dan keselamatan kebakaran.

"Fokus terakhir mahu mempergiatkan program komuniti, kempen, kesedaran awam, libat urus dan kerjasama dengan pelbagai agensi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 3:34 PM