DATUK Mohammad Hamdan Wahid. FOTO Arkib NSTP
DATUK Mohammad Hamdan Wahid. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mempertimbangkan penggunaan bahan kimia agen pembasahan baharu yang diadun dengan air bagi memadamkan kebakaran struktur bangunan.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya kini sedang meneliti penggunaannya yang lebih efektif dan sesuai untuk digunakan, selain menambah keupayaan air memadam kebakaran.

Beliau berkata, ia adalah teknologi baharu iaitu air akan ditambah dengan bahan campuran atau kimia untuk memudahkan usaha memadam kebakaran.

“Misalnya, satu gelen air yang tidak dicampur dengan bahan kimia kekuatannya adalah berbeza dengan air yang dicampur dengan bahan tertentu itu.

“Ia mempunyai nisbah campuran tertentu untuk diadun dengan air, tetapi teknologi ini mahal. Sebelum ini kami pernah memadamkan kebakaran menggunakan buih untuk mempercepatkan proses pemadaman kebakaran,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya merekodkan kerugian lebih RM3.3 bilion membabitkan kebakaran struktur bangunan dan rumah sepanjang 2018.

Beliau berkata, jumlah itu, membabitkan 6,626 premis bangunan dan rumah kediaman.

Justeru, pihaknya mensasarkan penurunan kadar kerugian dengan mempertingkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat secara lebih agresif.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya kini akan lebih memberi tumpuan kepada ‘offensive firefighting’ dalam usaha memadamkan kebakaran.

“Cara pemadaman kebakaran itu penting dan itu sebabnya kami menjurus kepada ‘offensive firefighting’ dengan cara terus memasuki bangunan untuk mencari punca kebakaran.

“Di Amerika Syarikat mereka mempraktikkan cara itu dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lebih ke hadapan.

“Kita ini terlalu berhati-hati dengan pendekatan ‘defensive firefighting’, namun jika kita praktikkan sedemikian (offensive firefighting) kita mampu mengurangkan kadar kerosakan kebakaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 10:10 AM