Salah seorang penagih cuba terjun dari tingkat tiga sebuah hotel hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Salah seorang penagih cuba terjun dari tingkat tiga sebuah hotel hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA penagih dadah cuba terjun dari tingkat tiga sebuah hotel dalam cubaan melarikan diri daripada ditahan polis di Kangar hari ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, kedua-dua lelaki itu bagaimanapun berjaya diberkas polis sebelum sempat terjun 1.15 pagi.

Beliau berkata, pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis menerima maklumat suspek yang berusia 30 dan 34 tahun menjadikan hotel itu sebagai tempat menghisap dadah.

“Pada awalnya polis mengetuk pintu bilik suspek namun mereka tidak memberikan jawapan sehingga memaksa polis memecahkan pintu bilik.

“Sejurus pintu terbuka salah seorang suspek cuba keluar melalui tingkap bilik dan rakannya yang sudah berada di luar tingkap bilik hendak terjun dari tingkat tiga dalam cubaan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Mushar berkata, salah seorang suspek cedera kerana terkena serpihan tingkap yang pecah ketika cuba keluar daripada tingkap.

“Kita merampas dua paket plastik lut sinar dan dua keratan straw merah jambu yang setiap satunya berisi ketulan kristal jernih disyaki syabu.

“Ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada pengedar di Kodiang, Kedah.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2)/15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:52 PM