Rombongan Muslim Care Malaysia berbuka puasa bersama satu keluarga besar seramai 25 orang di Khan Younis. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Rombongan Muslim Care Malaysia berbuka puasa bersama satu keluarga besar seramai 25 orang di Khan Younis. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein


KIRA-kira dua juta penduduk Semenanjung Gaza kini semakin tertekan dan menderita, menepati gelaran 'penjara terbesar' di dunia yang sering dilabel kepadanya.

Ancaman ketenteraan berterusan daripada Israel dan sikap tidak mesra Mesir, selaku jiran mereka di Selatan meletakkan taraf kehidupan penduduk wilayah Gaza kini pada tahap yang boleh dianggap memasuki zon kritikal.

Ini kerana lebih 50 peratus penduduk tidak bekerja manakala yang bekerja pula berdepan masalah gaji tertunggak, ada yang sehingga tiga bulan, dan ada yang gaji terpaksa dipotong sehingga 70 peratus.

Semestinya keadaan itu mencetus pelbagai masalah. Ada yang mengalami tekanan perasaan, terjebak dalam kegiatan jenayah dan gejala sosial, selain majoriti yang hidup dalam keadaan fakir dan melarat.

“Semenjak pemerintahan Mesir bertukar kepimpinan pada 2013, keadaan kami semakin teruk apabila penduduk semakin susah keluar masuk menerusi pintu sempadan Palestin-Mesir di Rafah.

"Disebabkan tiada pekerjaan dan keperluan asas yang semakin terjejas seperti makanan, elektrik dan air, ada penduduk yang mula hilang pertimbangan dan terfikir untuk membunuh diri," kata seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Gaza yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bassam.

Menyedari hakikat itu, sukarelawan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) yang menyempurnakan misi khas sempena Ramadan memilih pendekatan pergi sedekat mungkin dengan penduduk tempatan untuk lebih memahami situasi mereka.

Antara yang dilakukan ialah berbuka puasa dan melawat penduduk miskin di Khan Younis, menziarahi penduduk yang menghidap penyakit kronik dan terlantar serta melawat lokasi projek dibangunkan Muslim Care hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Rombongan Muslim Care menziarahi penduduk di Khan Younis. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Rombongan Muslim Care menziarahi penduduk di Khan Younis. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, dengan pendekatan sebegitu pihaknya kini lebih memahami keadaan penduduk Palestin, sekali gus menjadi dorongan untuk bekerja lebih kuat bagi membantu mereka.

"Kami berbuka puasa bersama satu keluarga besar seramai 25 orang membabitkan datuk, nenek, enam anak mereka yang sudah berkahwin dan 11 anak-anak mereka.

"Apa yang menyedihkan, tidak seorangpun daripada orang dewasa dalam keluarga besar itu ada pekerjaan tetap. Mereka hanya lakukan kerja rencam serta menerima bantuan NGO tempatan atau badan kebajikan untuk meneruskan hidup," katanya.

Beliau berkata, hatinya amat tersentuh apabila melawat seorang lelaki yang terlantar lebih setahun lalu di rumahnya selepas lumpuh akibat dilanggar kereta ketika menjaja makanan.

ZULKIFLI melawat lelaki yang lumpuh akibat dilanggar kereta ketika menjaja makanan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
ZULKIFLI melawat lelaki yang lumpuh akibat dilanggar kereta ketika menjaja makanan. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

"Dia kini tak mampu lagi menanggung keluarga, sedangkan anaknya ada tiga orang. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keluarga mereka mahu terus hidup kerana mereka langsung tiada sumber pendapatan," katanya.

Zulkifli berkata, projek pembangunan dilaksanakan Muslim Care banyak tertumpu di Khan Younis, bandar kedua terbesar di Semenanjung Gaza.

Antaranya termasuk Masjid Muhammad Al-Amin bernilai RM1.3 juta, padang futsal, tiga jalan berturap untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU) yang setiap satu jaraknya 50 ke 100 meter serta kelengkapan untuk satu-satunya perpustakaan di Khan Younis.

Orang ramai boleh membantu rakyat Palestin dengan menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882); CIMB (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:56 PM