Antara barangan yang dirampas daripada lelaki yang mencuri di masjid. FOTO Ihsan PDRM
Antara barangan yang dirampas daripada lelaki yang mencuri di masjid. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


LELAKI yang mencuri telefon bimbit dalam kereta ketika pemiliknya menunaikan solat Zuhur di Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan 1.30 tengah hari di Padang Serai, Kedah.

Menurutnya, polis turut merampas telefon bimbit Asus yang dicurinya dan Honda EX5 yang ditunggang suspek ketika melakukan jenayah itu.

“Siasatan awal suspek mengaku melakukan tiga kes curi dalam kenderaan di masjid itu.

“Suspek juga turut mengaku melakukan lima kes curi dalam kenderaan di Masjid Taman Selasih Kulim, Kedah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari Selasa lalu, perbuatan suspek mencuri telefon bimbit yang ditinggalkan dalam kereta oleh pemiliknya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketika kejadian mangsa yang berusia 25 tahun menunaikan solat Zuhur dalam masjid itu.

Berikutan itu, dia menjadi buruan polis selepas nombor pendaftaran motosikal ditunggangnya berjaya dikesan.

Berita berkaitan

Hang nak lari mana?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 9:22 PM