FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Sabran Md Sani


TIGA pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas terjatuh ketika menjalankan kerja pemasangan perancah bangunan bagi laluan lif sebuah kondominium 31 tingkat yang dalam pembinaan di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Iskandar Puteri, Superintendan Ismail Dollah, berkata kejadian 8.40 malam itu mengakibatkan tiga pekerja dikenali sebagai Toriqual, 38; Azmin, 27, dan Shalauddin, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersangkut di tingkat dua dan empat bangunan terbabit.

Beliau berkata, polis menerima panggilan telefon berhubung kejadian membabitkan beberapa pekerja binaan terjatuh dari bangunan yang dalam pembinaan di kawasan Tanjung Kupang menerusi talian 999.

“Hasil siasatan diketuai Ketua Balai Polis Tanjung Kupang, Asisten Superintendan Adanan Buayurin mendapati kejadian berlaku ketika semua mangsa terbabit sedang memasang perancah bangunan di laluan lif kondominium itu.

“Akibat kejadian itu ketiga-tiga mangsa meninggal akibat parah pada seluruh tubuh mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, punca dari tingkat mana semua mangsa terjatuh masih belum diketahui memandangkan kerja terbabit dilakukan di kawasan lubang lif.

Katanya, ketika kejadian, mereka melakukan kerja pemasangan staging (perancah bangunan) dalam lubang lif dan tiada saksi melihatnya.

“Berikutan itu pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri mengeluarkan semua mangsa pada 2.35 pagi ini dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 3:27 PM