Kenderaan dinaiki dua anggota polis yang terbabit kemalangan sebelum terbalik. FOTO Ihsan Pembaca
Kenderaan dinaiki dua anggota polis yang terbabit kemalangan sebelum terbalik. FOTO Ihsan Pembaca
Abnor Hamizam Abd Manap


DUA anggota polis yang dalam tugasan rondaan cedera apabila pacuan empat roda dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 4 Jalan Bahau-Tampin berhampiran Kampung Rata, Jempol hari ini.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, kedua-dua anggota lelaki dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menaiki Nissan Navara dari arah Tampin menghala ke Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, ketika tiba di lokasi, terdapat sebuah kenderaan dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh.

“Kenderaan itu kemudian memasuki laluan kenderaan polis.

“Anggota yang memandu mengelak kenderaan itu menyebabkan terbabas melanggar tebing tanah sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, kedua-dua anggota terbabit cedera dan dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 9:42 PM