KEMALANGAN yang menyebabkan seorang lelaki rentung di Jambatan Woodman. FOTO ihsan polis
KEMALANGAN yang menyebabkan seorang lelaki rentung di Jambatan Woodman. FOTO ihsan polis
Garret Dawum


LELAKI ditemui rentung selepas kenderaan dipandu dipercayai terbabit dalam kemalangan di Jambatan Woodman, Kuala Baram Estate, Sungai Adong di Miri, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan pihaknya sedang menunggu hasil bedah siasat dari pihak Hospital Miri.

“Berdasarkan semakan, Perodua Kembara itu dimiliki seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun dan berasal dari Taman Tengku Jalan Sibu.

“Namun, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan semuanya bergantung kepada hasil bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 1 pagi ketika kenderaan dipandu mangsa bergerak dari arah Jalan Gocart menuju ke Ladang Woodman.

“Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke tepi jambatan.

“Kenderaan terbabit kemudian terbakar dan mangsa yang berada di dalam kereta rentung,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pada jam 2.22 pagi.

“Lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, bomba menjumpai pemandu kenderaan yang sudah rentung dalam kebakaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 3:06 PM