NAZALI Sidek, 50, dari Kampung Pengkalan Setar (tengah baju biru petak) sedang melayan pelanggan di Kedai Emas dan Permata Nazeri Sri Gelugor di Bandar Kuala Berang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NAZALI Sidek, 50, dari Kampung Pengkalan Setar (tengah baju biru petak) sedang melayan pelanggan di Kedai Emas dan Permata Nazeri Sri Gelugor di Bandar Kuala Berang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“IA dirancang dengan baik seperti melakukan silap mata sehingga saya dan dua pekerja lain langsung tak sedar rantai itu dicuri,” kata Nazali Sidek, 50, pekerja Kedai Emas dan Permata Nazeri Sri Gelugor ketika ditemui di kedai itu, hari ini.

Nazali berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang 20 tahun dia membantu abang iparnya, Nazeri Ismail, 54, menguruskan kedai berkenaan.

“Selalunya saya yang sentiasa mengingatkan pekerja lain supaya berhati-hati ketika melayan pelanggan.

“Bagaimanapun pada hari kejadian, saya sendiri yang cuai dan terpedaya dengan kelicikan dua wanita berkenaan.

“Kejadian itu berlaku sangat pantas apabila kami disibukkan dengan pelbagai kerenah seorang daripadanya, manakala seorang lagi bertindak mencuri rantai berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakan sekerja biasanya hanya mengeluarkan satu barang kemas yang ingin dilihat pelanggan pada satu-satu masa.

Namun pada hari kejadian, katanya, dia mengeluarkan lebih daripada satu sekali gus membuka ruang kepada suspek untuk mencuri.

“Kejadian itu sangat memberi pengajaran kepada saya dan rakan sekerja. Jika diikutkan sampai sekarang kejadian itu menghantui, namun saya perlu kuat dan meneruskan kerja seperti biasa cuma sentiasa beringat,” katanya.

Menurut Nazali, dia berharap semua peniaga atau pekerja di kedai emas sentiasa berwaspada dengan taktik yang digunakan suspek.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua wanita disyaki warga Indonesia diburu berikutan mencuri seutas rantai emas seberat 42.28 gram di Kedai Emas di Bandar Kuala Berang pada 6 April lalu.

Kejadian 2.37 petang itu disedari selepas pemilik kedai melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 8 April sebaik sahaja menyedari seutas rantai emas berharga RM7,350 hilang.

Sementara itu Ketua Polis Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi berkata, operasi memburu kedua-dua suspek masih giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek itu boleh menghubungi Balai Polis Daerah Hulu Terengganu di talian 09-6811222 atau 09-6812419,” katanya.

Berita berkaitan

Polis cari dua wanita ini [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:28 PM