ANTARA dadah dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA dadah dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
Safuri Kamarudin


LELAKI berusia 28 tahun dikenali ‘Guruh’ menjadi buruan polis kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah akhirnya diberkas ketika sedang berehat di sebuah rumah dua tingkat dalam kebun getah, di Kampung Charok Salang, Parit Panjang, Baling, 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Superitendan Shariffuddin Yusof berkata, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah diketuai Inspektor Mohamad Nazri Mohamad Nasir ke lokasi berkenaan susulan maklumat diterima daripada orang awam.

Beliau berkata, turut ditahan dalam serbuan itu adalah seorang rakan suspek berusia 53 tahun.

“Ketika ditahan kedua-dua suspek disyaki berada di bawah pengaruh dadah. Suspek dikenali dengan panggilan Guruh aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Parit Panjang.

“Kami turut merampas 18 paket plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 52.22 gram,” katanya.

Menurutnya, satu lagi plastik lut sinar berisi empat paket syabu anggaran berat 4.34 gram turut dirampas dalam serbuan sama.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sebuah motosikal dipercayai milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 10:52 AM