FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti Sofia Md Nasir


SEORANG lelaki bekerja sebagai pembantu perawatan di sebuah klinik kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas enam tuduhan mengemukakan tuntutan elaun lebih masa palsu, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zamri Yahaya, 52, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, Zamri berkhidmat sebagai Pembantu Perawatan (Gred U19) di Klinik Kesihatan Teluk Bahang, didakwa dengan niat memperdayakan wakil prinsipal di Pejabat Kesihatan Daerah apabila mengemukakan dokumen tuntutan elaun lebih masa palsu.

Zamri didakwa melakukan kesalahan itu dari Januari 2017 sehingga Jun tahun sama, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,134.67.

Bagi semua kesalahan terbabit, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azlan Basri, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh sebagai kakitangan awam.

Namun, Zamri yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan berikutan dia hanya mempunyai pendapatan bersih RM1,800 sebulan dan perlu menyara tiga anak, ibunya yang sakit strok serta kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Nizam kemudiannya menetapkan jumlah jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan 12 Jun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 12:54 PM