KENDERAAN pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan kereta Peugot 207 milik seorang guru dilarikan penjenayah selepas kediamannya dipecah masuk di Lengkok Tambun Permai, Tambun, Ipoh, awal pagi semalam. FOTO ihsan polis.
KENDERAAN pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan kereta Peugot 207 milik seorang guru dilarikan penjenayah selepas kediamannya dipecah masuk di Lengkok Tambun Permai, Tambun, Ipoh, awal pagi semalam. FOTO ihsan polis.
Muhammad Apendy Issahak


GURU lelaki kerugian RM75,000 selepas kediamannya di Lengkok Tambun Permai, Tambun, Ipoh dipecah masuk dan dua kenderaan miliknya dilarikan penjenayah, awal pagi semalam.

Mangsa berusia 58 tahun itu hanya menyedari rumahnya dipecah masuk pada 4.30 pagi selepas mendapati kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan kereta Peugeot 207 yang diletak di tempat letak kereta rumahnya hilang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati mangsa meletakkan kedua-dua kenderaannya itu pada 6.30 petang kelmarin.

“Pada 3.30 awal pagi esoknya ketika mangsa bangun untuk ke bilik air, dia mendapati kedua-dua kenderaan itu masih ada.

“Namun sejam kemudian, guru berkenaan terjaga lagi sebelum mendapati kenderaan berkenaan sudah tiada.

“Mangsa mendapati jeriji besi pintu masuk rumahnya sudah terbuka serta pintu pagar rumah terbuka luas sedangkan sebelum itu ia dikunci dan pemeriksaan mendapati kunci kenderaannya yang disangkut di dinding rumah tiada,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati ada kesan umpil pada pintu rumah, namun tiada barangan berharga lain hilang dari dalam rumah mangsa dan suspek disyaki memecah masuk rumah sebelum mengambil kunci dan melarikan kedua-dua kenderaan itu.

Menurutnya, tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kediaman mangsa selain tiada saksi bebas dalam kejadian itu, malah guru berkenaan tidak menyedari kejadian atau mendengar bunyi penggera serta enjin kenderaan dihidupkan.

“Guru berkenaan tinggal bersendirian di rumah terbabit dan mempunyai masalah kesihatan manakala kedua-dua kenderaannya itu masih mempunyai baki hutang dengan bank, namun tiada bayaran tertunggak.

“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kami giat mengesan serta mengenalpasti suspek terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 12:20 AM