FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


GURU wanita kerugian hampir RM100,000 selepas rumahnya dipecah masuk jirannya dalam kejadian di Kampung Kepong, di sini.

Mangsa, 59, hanya menyedari kejadian pada 5.30 petang 30 Mac lalu selepas melihat kesan umpilan pada jeriji besi rumahnya sebelum membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa meninggalkan rumahnya dalam keadaan baik pada 12 tengah hari 28 Mac lalu untuk ke rumah barunya di Kampung Tok Adis.

Katanya, mangsa yang mengesyaki rumahnya dipecah masuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati pelbagai barangan berharga termasuk 11 utas gelang emas, beg tangan, topi keledar, kunci kereta dan buku bank hilang.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu dapur dengan mengumpil jeriji besi serta memotong jeriji tingkap angin.

“Mangsa mengesyaki rumahnya dipecah masuk jirannya, 40-an, selepas ternampak beberapa barang miliknya di atas beranda rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada Ahad lalu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 5:08 PM