Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


SERAMAI 1,100 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan lancar, Sabtu ini.

Jurucakap polis bagi PRK DUN Rantau, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin berkata, semua anggota akan ditempatkan di lokasi strategik selain pusat pengundian dan penjumlahan undi.

Menurutnya, polis menasihatkan orang ramai termasuk ahli parti bertanding agar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkempen dan mengundi.

“Pengundi dinasihatkan untuk keluar awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di pusat pengundian.

“Polis juga mengingatkan penyokong parti bertanding supaya tidak membuat sebarang provokasi atau bertindak agresif sepanjang tempoh mengundi,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di proses pengundian awal, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, polis sudah menerima 73 laporan sepanjang tempoh berkempen PRK DUN Rantau sehingga hari ini.

Katanya, sebanyak 15 kertas siasatan sudah dibuka mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya dan pelbagai kesalahan bawah Akta Kanun Keseksaan.

“Laporan polis yang dibuat membabitkan kes gegantung provokasi. Saksi sudah dipanggil untuk beri keterangan dan suspek giat dikesan.

“Polis memberi jaminan keadaan keselamatan terkawal pada hari pengundian Sabtu ini selain sepanjang tempoh berkempen yang berbaki empat hari lagi,” katanya.

Sementara itu, calon bertanding masing-masing Dr S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Barisan Nasional (BN) ketika melawat pusat pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan dan Balai Polis Rantau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal yang tamat 12 tengah hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 12:21 PM
    JALAN Pekan Rantau yang dipenuhi bendera parti bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau. FOTO Saifullizan Tamadi
    JALAN Pekan Rantau yang dipenuhi bendera parti bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau. FOTO Saifullizan Tamadi