Siti Nor Hidayatidayu Razali


TABUNG Haji (TH) perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung agihan hibah sebanyak 1.25 peratus kepada pencarum bagi mengelakkan timbul andaian negatif kepada mereka.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, penjelasan lengkap perlu diberikan segera memandangkan jumlah hibah yang diagihkan rendah berbanding sebelum ini.

“Pastinya pencarum berasa amat terkilan dengan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus. Kita juga rasa terkilan dengan pengumuman hibah itu.

“Kita pasti pendedahan yang sebaiknya perlu diberikan kepada 9.3 juta pencarum supaya tidak timbul andaian negatif kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Hala Tuju Industri Mineral negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, di Kota Bharu, hari ini.

Ketika ditanya sama ada dakwaan pengagihan hibah yang rendah itu adalah usaha untuk melemahkan institusi kewangan Islam, Ahmad berkata, semua pihak perlu melihat keseluruhan sebab-sebab pengagihan hibah yang rendah itu.

TH Jumaat lalu mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 12:24 PM