KETUA Menteri Melaka  Adly Zahari. FORO Rasul Azli Samad.
KETUA Menteri Melaka Adly Zahari. FORO Rasul Azli Samad.
Fairuz Zaidan


SELEPAS Korea Selatan, Melaka dijangka memuktamadkan pelaburan baharu dari Jepun dan Taiwan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM8.5 bilion pada tahun ini.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, sebahagian nilai pelaburan hasil lawatan kerja ke negara berkenaan, baru-baru ini sudah dimuktamadkan, sekali gus bakal menawarkan sebanyak 3,925 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

Beliau berkata, jumlah itu termasuklah perbincangan bersama dua syarikat Jepun masing-masing membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM441 juta dan RM50 juta selain RM3.5 bilion dan RM900 juta pelaburan daripada dua syarikat dari Taiwan.

“Secara asasnya, lawatan kerja saya bersama wakil EXCO dan pegawai kerajaan Melaka ke Jepun serta Taiwan, baru-baru ini memfokuskan kepada tiga aspek penting iaitu misi pelaburan, pelancongan selain sukarelawan.

“Ini adalah lanjutan daripada kejayaan misi pelaburan dari Korea Selatan sebelum ini bagi membina sebuah hospital swasta di Melaka, di mana kita menjangkakan dapat memuktamadkan perjanjian pada tahun ini dengan kesemua nilai pelaburan berjumlah RM8.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Adly berkata, Melaka juga mahu merebut peluang perang dagangan antara dua kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) - China dengan mewujudkan sebuah Regional Data Centre (Pusat Data Serantau) di negeri ini membabitkan pelaburan dari Taiwan dianggarkan bernilai RM3.5 bilion.

“Setakat ini kita sudah membuat beberapa perbincangan dengan syarikat dari Taiwan yang berminat untuk mewujudkan sebuah Regional Data Centre bagi mengalihkan pertembungan perang dagangan AS - China.

“Ini termasuklah memindahkan operasi Regional Data Centre itu ke Melaka. Ia juga selepas mengambil kira kedudukan strategik negeri ini antara Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri juga akan melancarkan Smart Industrial Centre (SIC) sebagai hab perindustrian baharu di Bukit Rambai yang saling menyokong rangkaian dan keperluan industri berkaitan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, konsep SIC yang dipraktikkan dari Jepun itu apabila dilaksanakan bakal menyokong sebanyak lapan industri sokongan termasuk pembuatan dan pembungkusan sebagaimana yang bakal dimulakan oleh syarikat Konica Minolta di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 11:50 AM