BUNG Moktar Radin. FOTO arkib NSTP
BUNG Moktar Radin. FOTO arkib NSTP
Mohd Izham Unnip Abdullah


UMNO Sabah mengambil pendirian tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun UMNO Sabah mempunyai ramai ahli di Sandakan, ia tidak bertanding kerana mahu memberi laluan kepada parti pembangkang lain.

“Kami (UMNO) masih mempunyai ahli yang ramai di bahagian Sandakan dan tidak dinafikan boleh menjadi penyumbang kepada kemenangan calon yang bertanding pada PRK ini.

“UMNO Sabah akan memberikan sokongan dan kerjasama kepada mana-mana parti pembangkang yang bertanding dan memerlukan kerjasama UMNO kecuali Parti Liberal Demokratik (LDP) yang berlagak ego dan sombong,” katanya dalam kenyataan di Sandakan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pihaknya menghormati parti lain dalam blok pembangkang yang berminat meletakkan calon pada PRK itu.

Bagaimanapun katanya, ia tidak akan membantu LDP selepas mendakwa pemimpin parti itu memandang negatif kesediaan UMNO untuk bekerjasama bagi merebut kerusi berkenaan daripada DAP.

“UMNO Sabah menghormatidan memberi laluan kepada LDP sebagai parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sandakan tetapi tewas di tangan calon DAP, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt,” katanya.

LDP yang tewas di semua kerusi ditandinginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 mengambil keputusan keluar BN dan bergerak sendiri sejak Mei tahun lalu.

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin, sebelum ini dilaporkan berkata parti itu berminat untuk mengambil bahagian dalam PRK Sandakan, namun keputusan lanjut akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman rasmi berkaitan PRK itu.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Sandakan yang disusuli sidang media bagi memaklumkan tarikh penting dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:32 PM