FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Norsyazwani Nasri


TINDAKAN orang awam merakam menggunakan telefon pintar ketika anggota polis menjalankan tugas perlu dijadikan motivasi anggota berkenaan supaya sentiasa berkelakuan profesional ketika bertugas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, setiap tingkah laku dan gerak-geri pegawai dan anggota sebenarnya sentiasa dalam pengawasan orang awam.

Katanya, apa sahaja kelakuan dan perbuatan anggota polis, masyarakat akan memerhati.

“Jadi, kita perlu memastikan segala perkhidmatan kepada orang awam berada pada peringkat paling tinggi dan terbaik.

“Kemajuan teknologi masa kini menjadikan masyarakat mudah merakam tingkah laku anggota polis yang kemudian ditularkan dalam media sosial, ini akan menjejaskan imej pasukan,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, hari ini.

Ketibaan beliau disambut Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Fahdil Antum Abdullah, bersama 15 pegawai kanan polis, 20 anggota pangkat rendah dan 11 pegawai awam dengan menerima tabik hormat dari pemeriksaan kawalan IPD Betong.

Mohd Dzuraidi ketika mengulas lanjut, berkata orang awam meletakkan sepenuh kepercayaan kepada polis untuk menjaga keselamatan mereka.

“Justeru, kita selaku satu pasukan polis kena mengelak mendapat tanggapan buruk dalam kalangan masyarakat dan jangan sesekali melakukan tindakan tidak bersesuaian ketika bertugas,” katanya.

Beliau berkata, persepsi buruk terhadap polis mampu mengurangkan keyakinan masyarakat kepada integriti pasukan keselamatan itu.

“Selain disiplin polis itu sendiri, indeks jenayah perlu diberi perhatian agar berada dalam keadaan terkawal dan sekiranya indeks jenayah meningkat, situasi ini pastinya menimbulkan rasa takut masyarakat,”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 7:45 PM